Renungan....

ANDA PENENTU MASA DEPAN BAHASA ANDA.....

Generasiku........

Generasiku........
Pewaris Bahasa Melayu

Saturday 29 September 2012

SAMPAI BILA......

BEBAN GURU........

Ini adalah ulasan tentang beban guru yang ditulis oleh saya berdasarkan jurnal Isu Tekanan Dan Beban Guru seta Kepuasan Bekerja......


PENDAHULUAN :
            Guru merupakan satu profesion mulia yang berperanan sebagai penyampai ilmu, pendidik, pembimbing, pengajar, pengasuh, mentor, penunjuk teladan yang baik serta agen perubahan masyarakat.  Oleh itu, tugas dan tanggungjawab guru amatlah besar dan berat. Tetapi sekarang tugas guru untuk mengajar, mendidik dan membimbing murid agak  terganggu disebabkan guru turut dibebani dengan beberapa tugas lain. Sebenarnya isu bebanan guru ini bukanlah perkara baru namun telah lama diperkatakan dan diperdebatkan tetapi seperti tiada berpenghujung.          

            Di sini saya tertarik dengan artikel ini kerana isu yang dibincangkan di dalamnya amat wajar untuk diulas apatah lagi dewasa ini bidang kurikulum ada yang mengalami perubahan. Di sini kita ingin melihat adakah perubahan yang berlaku dalam bidang kurikulum turut mempengaruhi bebanan guru.

            Jurnal ini menyatakan dengan jelas faktor-faktor yang menyebabkan guru terbeban dengan tugas lain selain dari tugas mengajar dan juga kajian-kajian yang telah dijalankan oleh NUTP dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah ini. Ulasan ini meliputi tiga bahagian  iaitu :
a.        Punca tekanan
b.       Laporan Bebanan Guru Oleh NUTP
c.       Kajian Dalaman NUTP
Secara amnya menurut Kyriacou, 1989 tekanan didefinisikan sebagai satu keadaan emosi
yang   kurang selesa yang diakibatkan  oleh keadaan mudarat yang berlanjutan. Manakala Quick & Quick, 1984 pula berpendapat, tekanan dan bebanan mengakibatkan masalah kesihatan dan kemerosotan prestasi kerja. Profesion perguruan kini telah dikenalpasti mempunyai banyak tekanan berpunca dari bebanan yang keterlaluan. Fenomena ini telah mengakibatkan faktor-faktor guru-guru berhenti kerja, ponteng bertrugas dan tidak mencapai kepuasan bekerja.
            Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca tekanan kepada guru. Antaranya :
a.        Tingkah laku pelajar yang pelbagai ragam dan mempunyai kaitan dengan masalah disiplin.
b.      Persekitaran kerja yang  kurang memuaskan dari segi pengurusan.
c.        Hubungan yang kurang memuaskan antara rakan sekerja kerana kekurangan kemahiran interpersonal serta interaksi sosial di persekitaran sekolah yang semakin kompleks.
d.      Bebanan tugas yang berlebihan dan rutin kerja mengakibatkan tekanan emosi.

Mengikut Singer (1993) dalam kajiannya menyatakan terdapat dua punca utama guru
meninggalkan profesion perguruan iaitu guru yang terlibat dalam perniagaan dan mendapati berniaga lebih memberikan kepuasan bekerja dan menjamin kewangan. Faktor kedua, adalah berkaitan dengan disiplin pelajar dan persekitaran kerja yang kurang memuaskan.

            Secara rumusannya, punca dan cara mengendalikan tekanan di kalangan guru adalah berbeza. Terdapat tiga kategori guru iaitu :
a.        Guru yang meninggalkan profesion perguruan kerana tidak sanggup menghadapi tekanan dan beban kerja.
b.      Guru yang mengalami tekanan dan beban kerja berlebihan tetapi masih meneruskan kerja tetapi menghitung hari untuk bercuti atau bersara.
c.       Guru-guru yang semakin maju dan meningkat dari segi profesion walaupun mengalami tekanan dan bebanan kerana mereka berkemampuan untuk menanganinya.

Menurut laporan yang telah dikemukakan oleh NUTP kepda jawatankuasa khas yang
dipengerusikan  oleh Tan Sri Rahman Arshad beberapa pandangan tentang bebanan guru telah diperolehi.  Pandangan-pandangan tersebut menyatakan dengan jelas tugas guru sebagai pendidik, pendisiplin dan pembimbing murid. Tugas utama guru adalah mengajar dan semua bimbingan guru dalam bidang ko-kurikulum adalah untuk pembelajaran murid.

            Selain perlu mengajar hingga 30 waktu seminggu bagi sekolah rendah dan 28 waktu untuk sekolah menengah, guru juga perlu melaksanakan kegiatan ko-kurikulum sebanyak 2-4 jam seminggu. Guru juga turut terbeban dengan tugasan lain seperti menyemak buku bertulis murid, mengendalikan mesyuarat PIBG, menghadiri mesyuarat dan bengkel, mengawas peperiksaan dan mengendalikan sukan di peringkat Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah.

            Guru tidak dapat memberi  perhatian kepada murid secara individu kerana bilangan murid terlalu ramai. Kadangkala guru dan murid terlibat dalam menambahkan dana sekolah untuk tujuan pembangunan fizikal sekolah dengan cara mengutip derma.Keadaan ini menjejaskan tumpuan guru terhadapa pengajaran mereka. Apatah lagi sekiranya arahan ini datang dari Jabatan Pelajaran atau Pejabat Pelajaran Daerah.

            Guru terpaksa menghadiri banyak mesyuarat dan bengkel jika terdapat perubahan kurikulum dan secara tidak langsung menjejas tumpuan guru terhadap pengajaran. Kehadiran guru ganti tidak meninggalkan impak yang besar. Perlindungan undang-undang juga tidak diberikan kepada guru sekiranya terdapat masalah ketika mereka menyelesaikan masalah displin murid. Ini amat berat.

            Terdapat beberapa projek untuk matapelajaran tertentu yang memerlukan murid sekolah rendah dan menengah melakukan kajian di luar kawasan sekolah dan ini menimbulkan masalah keselamatan. Begitu juga, tumpuan guru terhadap pengajaran terjejas kerana guru menggunakan masa terlalu banyak untuk persediaan peperiksaan. Peperiksaan formatif amatlah perlu berdasarkan pengajaran guru di dalam kelas dan sesuai dengan keperluan murid.

            Pandangan ini juga mencadangkan supaya bayaran diberikan kepada guru yang menjalankan kelas tambahan kerana mereka mempunyai beban tugas dalam waktu persekolahan.Jawatankuasa khas tersebut juga telah mengemukakan pandangan yang amat penting untuk profesion perguruan bertujuan mengurangkan bebanan guru dalam usaha meningkatkan semula fokus  dalam “core business” mereka iaitu mengajar. Antaranya :

a.       Perakuan 24 – Mengkaji semula keperluan guru merekod pelbagai jenis  borang seperti buku rekod, kad 001-002, buku rekod ko-kurikulum, salinan lembaran markah dan lain-lain yang bertindih diganti dengan dipermudahkan dengan system komputer.
b.      Perakuan 25- Projek yang berdasarkan mata pelajaran tertentu menggunakan sepenuhnya kemudahan seperti pusat sumber dan persekitaran sekolah.
c.       Perakuan 26- Kekerapan guru bermesyuarat di peringkat daerah, jabatan dan Kementerian Pelajaran hendaklah dikurangkan dan hendaklah bersesuaian dengan keperluan guru dan sekolah.
d.      Perakuan 27 – Peperiksaan formal dikurangkan dengan meneruskan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun secara peperiksaan formatif.
e.       Perakuan 29 – Guru diberikan perlindungan dan bantuan guaman sekiranya terdapat masalah yang rumit semasa menyelesaikan masalah disiplin murid.
f.       Perakuan 30 – Perlindungan insurans serta bayaran elaun makan,penginapan dan pengangkutan  diberikan kepada guru yang menjalankan kegiatan ko-kurikulum di luar sekolah dan kepada guru pengiring. Kalayakan tuntutan mestilah mengikut pekeliling perbendahaan Bil.2/1992 dan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4/1995.
g.      Perakuan 33- Penglibatan guru dalam aktiviti anjuran luar Kemeterian Pelajaran hendaklah dikurangkan mengikut kesesuaian.
h.      Perakuan 34 – Kerja mencetak bahan pengajaran dan pembelajaran, kertas soalan peperiksaan dan ujian, pungutan yuran, pendaftaran murid, pinjaman buku teks, penyeliaan Rancangan Makanan Tambahan dan sebagainya dilakukan oleh sdtaf sokongan.
i.        Perakuan 35 – Satu unit pentadbiran sekolah untuk membantu pengetua dan guru besar hendaklah diwujudkan bagi mengendalikan urusan kewangan dan pengurusan sekolah. bilangan staf sokongan hendaklah memenuhi keperluan sekolah masa kini.
     Pihak NUTP juga telah menyenaraikan secara terperinci bebanan guru meliputi 68 jenis bebanan kerja dalam kajian dalaman mereka. Jenis beban kerja ini meliputi Pengurusan/ Pentadbiran, Kurikulum/ Akademik, Hal Ehwal Murid, Ko-Kurikulum, Bina Insan dan Agensi/ Kementerian.  Dapatan dari kajian ini mendapati guru begitu dibebankan dengan kerja merekod seperti rekod kehadiran, profil murid, rekod peperiksaan dan penggunaan terlalu banyak borang yang tidak seragam.

            Dalam bidang Hal Ehwal Murid pula, guru perlu merekod borang-borang berkaitan SBT, SPBT, Biasiswa, One-Off sepatutnya diuruskan sendiri oleh pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan kes-kes disiplin perlu dapat kerjasama masyarakat setempat, barulah dapat dikurangkan bebanan guru untuk mengendalikannya.

            Bagi bidang ko-kurikulum pula, aspek keselamatan sering dipertanggungjawabkan kepada pihak sekolah dan tiada tuntutan dan cuti gantian jika kegiatan dilakukan di luar waktu persekolahan. Begitu juga dengan hubungan dengan masyarakat setempat dan agensi-agensi kerajaan dan swasta sering mengganggu tugas P&P.      Secara rumusannya, jika bebanan ini tidak diambil perhatian, proses p&p tidak lancar dan sempurna sehingga hilang objektif pendidikan . Terlalu banyak kerja perkeranian hinggakan soal kebajikan diabaikan.

      Hasil dapatan kajian tersebut, terdapat 68 jenis beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh guru sedangkan “core-business” guru iaitu mengajar menjadi kecil saiznya. Ini kerana guru terpaksa meluangkan masa yang ada di sekolah yang diperlukan untuk mengajar, membimbing murid  dan memeriksa hasil kerja murid  dengan melakukan tugas-tugas perkeranian tersebut. Hinggakan kadang-kadang keutamaan lebih diberikan kepada kerja-kerja tersebut berdasarkan arahan dan kehendak pihak pentadbiran. Arahan-arahan melalui telefon atau fax dari pihak atasan supaya “datang segera” atau “hantar segera” menyebabkan guru terpaksa melakukan tugas-tugas perkeranian tersebut.

            Di samping itu, guru-guru yang dipinjamkan oleh  Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah turut menjejaskan proses P&P kerana guru-guru yang keluar tidak diisi kuota mereka hinggakan guru-guru yang sedia ada terpaksa menggantikan kelas. Ini menambahkan lagi bebanan guru. Tetapi tidak dinafikan jika  ada pun guru tambahan lain yang tetap mengalami kerugian ialah murid-murid.

            Berlakunya perubahan dalam bidang kurikulum iatu  KSSR (Kurikulum Standard Selah Rendah) dijangkja menambahkan lagi bebanan guru. Ini kerana bagi melihat prestasi murid secara berterusan, guru perlu mewujudkan fail bagi setiap individu (murid). Bayangkan jika dalam satu kelas terdapat 40 orang murid, maka 40 fail perlu diwujudkan.  Apatah lagi jika di sesuatu sekolah mempunyai dua hingga empat kelas untuk tahun satu. Ini tidak termasuk lagi dengan penulisan Buku Rekod Mengajar yang perlu dimasukkan banyak item menambahkan lagi kerja merekod guru terutama guru tahun 1.  Sedangkan hakikat sebenarnya masa yang diperuntukkan semasa waktu persekolahan amat diperlukan bagi memberi tumpuan terhadap pengajaran dan membimbing murid.

      Sebenarnya isu ini telah banyak ditimbulkan dalam beberapa forum namun,tidak ada penyelesaian yang jelas. Situasi yang sama tetap berlaku. Apabila dibangkitkan ramai beranggapan guru ingin lari dari tugas, tetapi sebenarnya guru ingin menumpukan pada mengajar. Sebenarnya tugas perkeranian ini tidak memberi faedah kepada sesiapa pun termasuk murid dan ibu bapa.

      Dari segi kepuasan mengajar, guru akan lebih berasa puas sekiranya mereka dapat member fokus kepada tugas mengajar semata-mata di samping memeriksa buku setiap pelajarnya. Ini kerana guru tidak perlu memikirkan komitmen lain. Masa yang ada boleh ditumpukan kepada perancangan pengajaran yang boleh memberi kesan kepada setiap pelajar.

                  Beban dan tekanan guru telah mula diambil  perhatian serius oleh pihak Kementerian Pelajaran untuk diatasi serta diberi penambahbaikkan. Buktinya semasa sambutan Hari Guru tahun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom telah memaklumkan proses pengumpulan maklumat dan perbincangan mengenai kajian bebanan guru telah berada di peringkat akhir. Laporan itu akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diumumkan. Bagaimanapun para guru masih menunggukan satu keputusan yang menampakkan perubahan yang besar dalam isu ini.

                  Apa sekalipun keputusan Kementerian, dalam hal ini diharapkan semua pihak perlu memandang serius tentang isu ini kerana setiap keputusan kesannya adalah terhadap pelajar-pelajar kita. Bebanan guru dalam menjalankan tugas-tugas perkeranian dan tugas-tugas lain tetap tidak menguntungkan mana-mana pihak.

                  Jika sekiranya tenaga serta kemahiran guru yang menjalankan tugas-tugas tambahan yang sia-sia dialihkan kepada pengajaran, bukan sahaja murid-murid yang berkaliber dilahirkan tetapi kualiti pengajaran akan ditingkatkan. Biarlah guru-guru berada dalam keadaan mental yang baik dan tanpa tekanan supaya kualiti mengajar dapat ditingkatkan. Gurguru yang mengajar tanpa tekanan dan bebanan adalah guru yang berkualiti dan Negara juga memerlukan pendidik seperti ini.

                  Kesimpulannya, diharapkan pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil satu penyelesaian yang terbaik yang dapat menguntungkan pelajar-pelajar yang merupakan aset kepada Negara. Negara bergantung kepada “pencorak” generasi muda iaitu guru.

No comments:

Post a Comment