Renungan....

ANDA PENENTU MASA DEPAN BAHASA ANDA.....

Generasiku........

Generasiku........
Pewaris Bahasa Melayu

Wednesday 26 September 2012

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

SEDIKIT SUMBANGAN DI SEBALIK TABIR......

Bersempena dengan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah teks ucapan untuk Tuan Guru Besar, Yang DiPertua PIBG dan VIP perlu disediakan.Ini teks ucapan untuk Tuan Guru Besar SK Taman Bersatu....

TEKS UCAPAN TUAN GURU BESAR 
BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH.


Terima kasih Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Dato’ Latt Shariman bin Abdullah,
Yang Berusaha Tuan Pegawai Pelajaran Daerah,
Yang Berusaha En. Mohamed Shariff bin Nawab (AMK, PJK, BAT)
Yang Dipertua PIBG SK Taman Bersatu,
Yang Berbahagia Barisan Penolong Kanan,
Guru-guru Besar serta wakil,
Yang Dihormati Warga Pendidik SK Taman Bersatu,
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan serta pelajar-pelajar yang cemerlang sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera..

Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinan-Nya saya berpeluang buat pertama kalinya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan yang ke-9 SK Taman Bersatu ini. Bagi pihak sekolah, sekalung ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ kerana sudi hadir bagi merasmikan majlis yang penuh bermakna ini. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada para jemputan yang sudi meluangkan masa memenuhi undangan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Alhamdulillah dan bersyukur kita kerana hari ini merupakan hari yang bersejarah dan amat bermakna bagi kita apabila anak-anak kita diberi anugerah atas kecemerlangan pencapaian akademik mereka. Acara tahunan ini menunjukkan bahawa setiap usaha pasti akan membuahkan hasil dan sewajarnya diberi pengiktirafan. Tahniah dan syabas kepada anak-anak didik yang  berjaya.


Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti yang dimaklumi, sekolah ini telah mula beroperasi sejak 2004 tetapi buat pertama kalinya saya berdiri di atas pentas ini sebagai meneruskan kesinambungan pengurusan yang terdahulu mengurus dan memimpin sebuah institusi di sini.

Melihat enrolmen sekolah yang telah menjangkau sebanyak 668 murid iaitu sebanyak 618 murid aliran perdana, 25 murid Pra-Sekolah dan 25 murid Pendidikan Khas, membuktikan sekolah ini sememangnya diterima baik oleh masyarakat di sini. Sekolah ini turut didokong sebanyak 47 orang warga pendidik sebagai tulang belakang serta dibantu oleh 6 orang staff.

Yang Berhormat Dato’ , tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang telah berdiri selama hampir 9 tahun, sudah pastinya kami begitu komited dalam bidang akademik. Dalam UPSR 2011, seramai 6 orang murid telah mencapai 5A . Sementara itu seramai 7 calon mendapat keputusan 4A1B dengan peratus lulus sebanyak 59.78%.

Tuan-tuan dan hadirin sekalian,

Dalam usaha merealisasikan hasrat dan aspirasi dari pihak Kementerian Pelajaran, pihak sekolah sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program yang diyakini dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Program dari Kementerian seperti  MBMMBI (Memperkasa Bahasa Melayu , Mempertingkat Bahasa Inggeris) telah dilaksanakan di sekolah. Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama  Pusat Sumber Sekolah menjalankan aktiviti Sehari Sebuah Karangan, Sehari Sebuah Buku, Program Tuntas Bahasa serta ucapan bertemakan peribahasa dalam perhimpunan mingguan dalam usaha meningkatkan pengusaan Bahasa Melayu.

Panitia Bahasa Inggeris juga turut mengembeleng tenaga menjalankan beberapa aktiviti dalam usaha meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar dengan menjalankan beberapa aktiviti seperti Story Telling and Public Speaking, English Drilling On Monday and Tuesday, Board of Interest dan My Expression Board. Hasilnya terdapat peningkatan yang positif dalam pengusaan Bahasa Inggeris pelajar. Ini terbukti dalam Ujian 1 Tahun 6 peratus lulus adalah sebanyak 62.50% telah meningkat ke 78.63% dalam peperiksaan Percubaan UPSR lalu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pihak sekolah sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan sekolah ini dari pelbagai aspek. Aspek pembangunan rohani atau sahsiah turut ditekankan dengan menjalankan program-program seperti berikut:

Sahsiah
-       Solat Hajat dan bacaan Yaasin bersempena UPSR
-       Sambutan Maulidurrasul
-       Kem Bestari  Solat
-       Program Penghayatan Ramadhan – Ceramah
-       Kem Bestari Solat & Kem Akil Baligh
-       Program Sekolah Penyayang
Disiplin
-       Buku Peraturan Sekolah
-       Bimbingan dan Kaunseling
-       Memujuk pelajar ponteng
-       Penampilan kemas dan berdisiplin


Ko-Kurikulum
-       1 Murid 1 Sukan
-       Penglibatan murid dalam kem TKRS dan Pengakap anjuran PPD
-       Kursus Kemahiran Pengakap
-       Aktiviti Kelab dan Persatuan
-       Hari Sihat Cergas
-       Merentas Desa
-       Majlis Sambutan Hari Haya dan Hari Kebangsaan
-       Kejohanan Sukan Sekolah

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya amat berbangga kerana sebagai agen perubahan, sekolah ini telah berjaya mencungkil bakat dan potensi pelajar-pelajar. Sekolah ini turut meraih beberapa kejayaan dalam bidang ko-kurikulum di sepanjang tahun ini. Antaranya :

Pra-Sekolah
-       Johan Mendeklamasikan Sajak dalam Pertandingan Hari Bakat Pra-Sekolah
Peringkat PKG Telok Kechai.
-       Tempat ke-3 Pertandingan Futsal Peringkat PKG Telok Kechai dan seorang murid pra terpilih mewakili Daerah dalam pertandingan ini dan mendapat Naib Johan.

Pendidikan Khas
-       Adik Nik Affendi b. Nik Saiful Anuar dan adik Muhammad Ridzuan b Md Khir akan mewakili Negeri Kedah  bagi SUKAN PALIMPIK KEBANGSAAN di Kuantan Pahang pada 7-14 Disember 2012 dalam acara renang.
-       Mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam Pertandingan Bowling Pend. Khas Peringkat Negeri.

Persatuan P.Islam
-       Adik Nur Rifqi Faruqi b Khairul Anwar - Johan Hafazan Lelaki bagi Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat PKG Telok Kechai dan Johan
Hafazan Masjid Aman Bersempena Sambutan Maulidur Rasul 2012.
-       Adik Muhammad Shareiz b.Shah Lan mendapat tempat ke-2 dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat PKG Telok Kechai. Adik Shareiz juga mendapat tempat ke-2 pertandingan azan di Masjid Aman bersempena Sambutan Maulidur Rasul 2012.

Olahraga
-       Mendapat tempat ke-3 Peringkat PKJG Telok Kechai.

Bola Sepak
-       Melayakkan diri sehingga ke peringkat Suku akhir Peringkat PKG Telok Kechai.

Bola Baling
-       Tempat ke-2 lelaki Peringkat PKG Telok Kechai.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian ini. Kita berharap sekolah ini dapat mengorak langkah ke arah kejayaan yang lebih besar. Insyaallah.

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

Saya juga berbesar hati memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi merapatkan jurang pendidikan selaras dengan agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar. Bantuan persekolahan yang disediakan mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sama ada berbentuk  Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah,  Bayaran Tambahan Persekolahan, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Baucar Buku 1Malaysia dan sebagainya. Peruntukan yang besar daripada kerajaan ini diharapkan dapat menjana kecemerlangan pendidikan di negara kita selaras dengan cita-cita negara bagi melahirkan pelajar-pelajar dan modal insan yang mampu memartabatkan nama negara di persada antarabangsa. Diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memberi galakan dan semangat kepada anak-anak kita untuk terus maju jaya memandangkan kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi menjamin kecemerlangan mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang padu daripada semua guru dan warga sekolah yang sanggup menggalas tugas dengan penuh komitmen bagi kecemerlangan pelajar sekolah ini. Harapan saya agar sekolah kita mampu terus menjana kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Harapan saya untuk kecemerlangan di sekolah ini ialah;

-   Memperkasakan kualiti komitmen kerja pendidikan dan persekolahan bagi   
    melonjakkan pendidikan dan persekolahan.
 
 -Komitmen, kejujuran dan keikhlasan dalam kalangan warga sekolah.

- Memperkasa permuafakatan dalam organisasi melalui kerjasama yang erat dalam
  kalangan warga sekolah serta ibu bapa.

 - Semua guru perlu fokus kepada visi dan tanggungjawab untuk membangunkan
   sekolah sebagai sekolah pilihan masyarakat.

-Melahirkan murid cemerlang akademik, sahsiah, dan kokurikulum
- Fokus gred kepada minimum C serta penguasaan semua subjek.

Pada kesempatan ini juga pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada YDP PIBG sekolah ini yang sentiasa memastikan dan mengambil cakna terhadap kecemerlangan pelajar.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Begitu juga kepada seluruh warga pendidik SK Taman Bersatu yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendidik anak-anak kita. Wajarlah hari ini pihak sekolah memberi penghargaan atas usaha dan penat lelah mereka. Diharapkan anugerah ini terus membakar semangat masing-masing untuk terus maju jaya. Saya akhiri ucapan saya  dengan serangkap pantun :

Keterlibatan semua tidak tersukat,
Permuafakatan ukhwah sebagai makrifat,
Seia Sekata kita berpakat,
Kecemerlangan sekolah menjadi matlamat.

Terima kasih.



No comments:

Post a Comment