Renungan....

ANDA PENENTU MASA DEPAN BAHASA ANDA.....

Generasiku........

Generasiku........
Pewaris Bahasa Melayu

Friday 28 September 2012

JEMPUTAN VIP HAK

TEKS UCAPAN VIP BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN


Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis,
Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Penolong-penolong Kanan, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG Sek. Keb. Taman Bersatu. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang tinggi sehingga majlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang murid-murid dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para murid yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka.


Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘memberi’, agar para pelajar bersedia untuk ‘menerima’. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Dato’ Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato’ Syeikh Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada para murid lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,
Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. Insya’Allah.
                                                                                     
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu pada hari ini.

Sekian, terima kasih.





No comments:

Post a Comment