Renungan....

ANDA PENENTU MASA DEPAN BAHASA ANDA.....

Generasiku........

Generasiku........
Pewaris Bahasa Melayu

Saturday 29 September 2012

CETUSAN RASA

REFLEKSI KESELURUHAN TUGASAN


Tugasan saya telah sampai ke garisan penamat. Apa yang dapat dirumuskan, perasaan saya agak lega kerana dapat juga melaksanakan tugasan yang memerlukan peruntukan masa yang mencukupi bagi melaksanakannya sedangkan ruang masa kami memang agak terhad.

            Sewaktu penerimaan tugasan dalam kelas, sememangnya agak kabur kerana pensyarah pembimbing perlu menyampaikan input untuk beberapa topik sekaligus untuk ruang interaksi yang terhad. Sememangnya di dalam kelas, kita hanya dapat menerima tugasan secara dasar tanpa praktikal. Ini dapat dirasai untuk topik pembinaan blog. Sejujurnya dapat dikatakan untuk topik ini, memang agak berat untuk dilaksanakan kerana melibatkan penguasaan ICT, apatah lagi selama ini pun saya tidak mempunyai pengetahuan asas untuk pembinaan blog.

Kita tidak akan nampak masalah jika tidak melaksanakannya. Saya memulakan langkah  dengan mencari bahan melalui internet tentang cara-cara pembinaannya. Seperti biasa, melalui bahan bacaan sahaja tidak mencukupi, pertanyaan  dengan rakan sejawat yang mahir dalam ICT dilakukan. Tetapi, masa juga yang menjadi masalah kerana rakan-rakan juga terbeban dengan tugas-tugas mereka di sekolah. Sukar juga untuk saya berinteraksi dengan mereka secara kerap.  Mahu tidak mahu, banyak perkara perlu dilakukan secara kendiri. Alhamdulillah, setiap permasalahan yang timbul, jika dirujuk kepada pensyarah pembimbing, beliau turut memberi panduan. Semua ini memberi laluan yang mudah untuk saya melaksanakan tugasan pembinaan blog. Setiap arahan ‘posting’ bahan pembelajaran dapat dilaksanakan, dan tidak sukar untuk dilakukan.

Walaupun jika dilihat, blog saya tidak “secanggih” yang lain, mungkin kurang lengkap dari segi penambahan ‘aksesori’ yang lain, namun inilah kadar yang termampu dilaksanakan untuk tempoh masa terhad.  Insyaallah, selepas ini pun saya akan mengemaskini blog ini dari semasa ke semasa.
Untuk tugasan seterusnya, iaitu pembinaan bahan pembelajaran berbantukan komputer, tidak sesukar tugasan binaan blog. Berbekalkan pengetahuan asas untuk Power Point di samping telah biasa menggunakan Power Point untuk subjek terdahulu dan untuk pembentangan, memberi kredit untuk melengkapkan tugasan ini. Hanya yang perlu difikirkan dan ditentukan adalah tema pembelajaran yang hendak diisi di samping menyelitkan Video, Audio, Teks dan Imej dalam satu pakej. Adalah menjadi harapan, bahan saya ini tidak tersasar dan dapat memenuhi kehendak pensyarah pembimbing. Untuk bahan ini, sasaran saya adalah penulisan ulasan yang terdapat dalam Kertas Penulisan UPSR. Apa yang cuba saya sampaikan dalam bahan ini berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sebagai guru Tahun 6, cara asas untuk Penulisan Ulasan.

Untuk tugasan ini, sememangnya saya berusaha untuk melengkapkannya kerana beranggapan dapat diserahkan pada interaksi terakhir untuk memberi tumpuan menghadapi peperiksaan. Anggapan saya meleset, kami perlu melengkapkan lagi tugasan blog dan pembinaan bahan ini. Bermaksud seminggu sebelum menghadapi peperiksaan, kami perlu mengendalikan dan menguruskan lagi tugasan. Sememangnya ini agak memberi tekanan kepada saya kerana minggu akhir ini, di sekolah turut terlibat dengan persiapan Hari Anugerah Kecemerlangan. Saya pula terlibat dalam AJK Hadiah yang turut “mencuri’ masa saya pada minggu ini kerana perlu keluar mencari hadiah yang sesuai di samping perlu menyediakan 3 teks ucapan yang turut diberikan pada saat akhir.  

Sememangnya, apa yang dapat dirumuskan, titik utama masalah di sini adalah MASA. Kekangan masa amat memberi kesan emosi dan pengurusan diri memandangkan tugas saya di sini bukan sahaja sebagai PELAJAR, tetapi sebagai GURU, ISTERI DAN IBU. Apatah lagi saya perlu menguruskan anak-anak sendirian, turut memberi kesan terhadap pengurusan masa saya untuk melaksanakan tugasan.

Walaubagaimanapun, semua ini tidak mematahkan semangat saya. Apa sahaja yang dipelajari melalui program ini dan untuk subjek BMM3105 khasnya memberi banyak input dan ilmu yang sememangnya dapat meningkatkan tahap keilmuan kita. Tugas sebagai pendidik sendiri yang semakin rencam memerlukan penguasaan ilmu untuk mencambahkan lagi pemikiran kita. Insyaallah, apa yang diharapkan segala ilmu ini dapat diaplikasikan dalam dunia pendidikan kita.

Harapan saya juga, agar  dapat meneruskan langkah untuk mengikuti pengajian ini dengan mudah dan lancar. Kepada Pensyarah Pembimbing, Encik Bukhari bin Shafie, terima kasih atas segala bimbingan.  Sejujurnya ketika melayari blog tuan bagi mendapatkan info dan bahan, saya amat tertarik dengan gaya bahasa tuan.
  
Sekian.

No comments:

Post a Comment