Renungan....

ANDA PENENTU MASA DEPAN BAHASA ANDA.....

Generasiku........

Generasiku........
Pewaris Bahasa Melayu

Friday 12 October 2012

DOA PEMBUKA REZEKI

Agar rezeki kita sebagai pendidik diberkati.....


Tuesday 9 October 2012

BBM BERBANTUKAN KOMPUTER

BBM di bawah diharap dapat membantu untuk aktiviti Penulisan Bahagian C:

Sila klik pautan di bawah....

BBM BERBANTUKAN KOMPUTER

Wednesday 3 October 2012

PERANAN GURU

Guru pastinya berperanan menjalankan aktiviti yang dapat menggalakkan budaya membaca...


MEMANTAP BAHASA MELAYU...

Untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu, amalan membaca perlu digalakkan...pastinya perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah.... Jadikan membaca sebagai amalan....


KASIH IBU, PENGORBANAN ANAK...

Video ini sememangnya menarik untuk ditonton, besar juga pengorbanan anak untuk menunjukkan kasih-sayang mereka terhadap si ibu....


Saturday 29 September 2012

SAMPAI BILA......

BEBAN GURU........

Ini adalah ulasan tentang beban guru yang ditulis oleh saya berdasarkan jurnal Isu Tekanan Dan Beban Guru seta Kepuasan Bekerja......


PENDAHULUAN :
            Guru merupakan satu profesion mulia yang berperanan sebagai penyampai ilmu, pendidik, pembimbing, pengajar, pengasuh, mentor, penunjuk teladan yang baik serta agen perubahan masyarakat.  Oleh itu, tugas dan tanggungjawab guru amatlah besar dan berat. Tetapi sekarang tugas guru untuk mengajar, mendidik dan membimbing murid agak  terganggu disebabkan guru turut dibebani dengan beberapa tugas lain. Sebenarnya isu bebanan guru ini bukanlah perkara baru namun telah lama diperkatakan dan diperdebatkan tetapi seperti tiada berpenghujung.          

            Di sini saya tertarik dengan artikel ini kerana isu yang dibincangkan di dalamnya amat wajar untuk diulas apatah lagi dewasa ini bidang kurikulum ada yang mengalami perubahan. Di sini kita ingin melihat adakah perubahan yang berlaku dalam bidang kurikulum turut mempengaruhi bebanan guru.

            Jurnal ini menyatakan dengan jelas faktor-faktor yang menyebabkan guru terbeban dengan tugas lain selain dari tugas mengajar dan juga kajian-kajian yang telah dijalankan oleh NUTP dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah ini. Ulasan ini meliputi tiga bahagian  iaitu :
a.        Punca tekanan
b.       Laporan Bebanan Guru Oleh NUTP
c.       Kajian Dalaman NUTP
Secara amnya menurut Kyriacou, 1989 tekanan didefinisikan sebagai satu keadaan emosi
yang   kurang selesa yang diakibatkan  oleh keadaan mudarat yang berlanjutan. Manakala Quick & Quick, 1984 pula berpendapat, tekanan dan bebanan mengakibatkan masalah kesihatan dan kemerosotan prestasi kerja. Profesion perguruan kini telah dikenalpasti mempunyai banyak tekanan berpunca dari bebanan yang keterlaluan. Fenomena ini telah mengakibatkan faktor-faktor guru-guru berhenti kerja, ponteng bertrugas dan tidak mencapai kepuasan bekerja.
            Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca tekanan kepada guru. Antaranya :
a.        Tingkah laku pelajar yang pelbagai ragam dan mempunyai kaitan dengan masalah disiplin.
b.      Persekitaran kerja yang  kurang memuaskan dari segi pengurusan.
c.        Hubungan yang kurang memuaskan antara rakan sekerja kerana kekurangan kemahiran interpersonal serta interaksi sosial di persekitaran sekolah yang semakin kompleks.
d.      Bebanan tugas yang berlebihan dan rutin kerja mengakibatkan tekanan emosi.

Mengikut Singer (1993) dalam kajiannya menyatakan terdapat dua punca utama guru
meninggalkan profesion perguruan iaitu guru yang terlibat dalam perniagaan dan mendapati berniaga lebih memberikan kepuasan bekerja dan menjamin kewangan. Faktor kedua, adalah berkaitan dengan disiplin pelajar dan persekitaran kerja yang kurang memuaskan.

            Secara rumusannya, punca dan cara mengendalikan tekanan di kalangan guru adalah berbeza. Terdapat tiga kategori guru iaitu :
a.        Guru yang meninggalkan profesion perguruan kerana tidak sanggup menghadapi tekanan dan beban kerja.
b.      Guru yang mengalami tekanan dan beban kerja berlebihan tetapi masih meneruskan kerja tetapi menghitung hari untuk bercuti atau bersara.
c.       Guru-guru yang semakin maju dan meningkat dari segi profesion walaupun mengalami tekanan dan bebanan kerana mereka berkemampuan untuk menanganinya.

Menurut laporan yang telah dikemukakan oleh NUTP kepda jawatankuasa khas yang
dipengerusikan  oleh Tan Sri Rahman Arshad beberapa pandangan tentang bebanan guru telah diperolehi.  Pandangan-pandangan tersebut menyatakan dengan jelas tugas guru sebagai pendidik, pendisiplin dan pembimbing murid. Tugas utama guru adalah mengajar dan semua bimbingan guru dalam bidang ko-kurikulum adalah untuk pembelajaran murid.

            Selain perlu mengajar hingga 30 waktu seminggu bagi sekolah rendah dan 28 waktu untuk sekolah menengah, guru juga perlu melaksanakan kegiatan ko-kurikulum sebanyak 2-4 jam seminggu. Guru juga turut terbeban dengan tugasan lain seperti menyemak buku bertulis murid, mengendalikan mesyuarat PIBG, menghadiri mesyuarat dan bengkel, mengawas peperiksaan dan mengendalikan sukan di peringkat Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah.

            Guru tidak dapat memberi  perhatian kepada murid secara individu kerana bilangan murid terlalu ramai. Kadangkala guru dan murid terlibat dalam menambahkan dana sekolah untuk tujuan pembangunan fizikal sekolah dengan cara mengutip derma.Keadaan ini menjejaskan tumpuan guru terhadapa pengajaran mereka. Apatah lagi sekiranya arahan ini datang dari Jabatan Pelajaran atau Pejabat Pelajaran Daerah.

            Guru terpaksa menghadiri banyak mesyuarat dan bengkel jika terdapat perubahan kurikulum dan secara tidak langsung menjejas tumpuan guru terhadap pengajaran. Kehadiran guru ganti tidak meninggalkan impak yang besar. Perlindungan undang-undang juga tidak diberikan kepada guru sekiranya terdapat masalah ketika mereka menyelesaikan masalah displin murid. Ini amat berat.

            Terdapat beberapa projek untuk matapelajaran tertentu yang memerlukan murid sekolah rendah dan menengah melakukan kajian di luar kawasan sekolah dan ini menimbulkan masalah keselamatan. Begitu juga, tumpuan guru terhadap pengajaran terjejas kerana guru menggunakan masa terlalu banyak untuk persediaan peperiksaan. Peperiksaan formatif amatlah perlu berdasarkan pengajaran guru di dalam kelas dan sesuai dengan keperluan murid.

            Pandangan ini juga mencadangkan supaya bayaran diberikan kepada guru yang menjalankan kelas tambahan kerana mereka mempunyai beban tugas dalam waktu persekolahan.Jawatankuasa khas tersebut juga telah mengemukakan pandangan yang amat penting untuk profesion perguruan bertujuan mengurangkan bebanan guru dalam usaha meningkatkan semula fokus  dalam “core business” mereka iaitu mengajar. Antaranya :

a.       Perakuan 24 – Mengkaji semula keperluan guru merekod pelbagai jenis  borang seperti buku rekod, kad 001-002, buku rekod ko-kurikulum, salinan lembaran markah dan lain-lain yang bertindih diganti dengan dipermudahkan dengan system komputer.
b.      Perakuan 25- Projek yang berdasarkan mata pelajaran tertentu menggunakan sepenuhnya kemudahan seperti pusat sumber dan persekitaran sekolah.
c.       Perakuan 26- Kekerapan guru bermesyuarat di peringkat daerah, jabatan dan Kementerian Pelajaran hendaklah dikurangkan dan hendaklah bersesuaian dengan keperluan guru dan sekolah.
d.      Perakuan 27 – Peperiksaan formal dikurangkan dengan meneruskan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun secara peperiksaan formatif.
e.       Perakuan 29 – Guru diberikan perlindungan dan bantuan guaman sekiranya terdapat masalah yang rumit semasa menyelesaikan masalah disiplin murid.
f.       Perakuan 30 – Perlindungan insurans serta bayaran elaun makan,penginapan dan pengangkutan  diberikan kepada guru yang menjalankan kegiatan ko-kurikulum di luar sekolah dan kepada guru pengiring. Kalayakan tuntutan mestilah mengikut pekeliling perbendahaan Bil.2/1992 dan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4/1995.
g.      Perakuan 33- Penglibatan guru dalam aktiviti anjuran luar Kemeterian Pelajaran hendaklah dikurangkan mengikut kesesuaian.
h.      Perakuan 34 – Kerja mencetak bahan pengajaran dan pembelajaran, kertas soalan peperiksaan dan ujian, pungutan yuran, pendaftaran murid, pinjaman buku teks, penyeliaan Rancangan Makanan Tambahan dan sebagainya dilakukan oleh sdtaf sokongan.
i.        Perakuan 35 – Satu unit pentadbiran sekolah untuk membantu pengetua dan guru besar hendaklah diwujudkan bagi mengendalikan urusan kewangan dan pengurusan sekolah. bilangan staf sokongan hendaklah memenuhi keperluan sekolah masa kini.
     Pihak NUTP juga telah menyenaraikan secara terperinci bebanan guru meliputi 68 jenis bebanan kerja dalam kajian dalaman mereka. Jenis beban kerja ini meliputi Pengurusan/ Pentadbiran, Kurikulum/ Akademik, Hal Ehwal Murid, Ko-Kurikulum, Bina Insan dan Agensi/ Kementerian.  Dapatan dari kajian ini mendapati guru begitu dibebankan dengan kerja merekod seperti rekod kehadiran, profil murid, rekod peperiksaan dan penggunaan terlalu banyak borang yang tidak seragam.

            Dalam bidang Hal Ehwal Murid pula, guru perlu merekod borang-borang berkaitan SBT, SPBT, Biasiswa, One-Off sepatutnya diuruskan sendiri oleh pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan kes-kes disiplin perlu dapat kerjasama masyarakat setempat, barulah dapat dikurangkan bebanan guru untuk mengendalikannya.

            Bagi bidang ko-kurikulum pula, aspek keselamatan sering dipertanggungjawabkan kepada pihak sekolah dan tiada tuntutan dan cuti gantian jika kegiatan dilakukan di luar waktu persekolahan. Begitu juga dengan hubungan dengan masyarakat setempat dan agensi-agensi kerajaan dan swasta sering mengganggu tugas P&P.      Secara rumusannya, jika bebanan ini tidak diambil perhatian, proses p&p tidak lancar dan sempurna sehingga hilang objektif pendidikan . Terlalu banyak kerja perkeranian hinggakan soal kebajikan diabaikan.

      Hasil dapatan kajian tersebut, terdapat 68 jenis beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh guru sedangkan “core-business” guru iaitu mengajar menjadi kecil saiznya. Ini kerana guru terpaksa meluangkan masa yang ada di sekolah yang diperlukan untuk mengajar, membimbing murid  dan memeriksa hasil kerja murid  dengan melakukan tugas-tugas perkeranian tersebut. Hinggakan kadang-kadang keutamaan lebih diberikan kepada kerja-kerja tersebut berdasarkan arahan dan kehendak pihak pentadbiran. Arahan-arahan melalui telefon atau fax dari pihak atasan supaya “datang segera” atau “hantar segera” menyebabkan guru terpaksa melakukan tugas-tugas perkeranian tersebut.

            Di samping itu, guru-guru yang dipinjamkan oleh  Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah turut menjejaskan proses P&P kerana guru-guru yang keluar tidak diisi kuota mereka hinggakan guru-guru yang sedia ada terpaksa menggantikan kelas. Ini menambahkan lagi bebanan guru. Tetapi tidak dinafikan jika  ada pun guru tambahan lain yang tetap mengalami kerugian ialah murid-murid.

            Berlakunya perubahan dalam bidang kurikulum iatu  KSSR (Kurikulum Standard Selah Rendah) dijangkja menambahkan lagi bebanan guru. Ini kerana bagi melihat prestasi murid secara berterusan, guru perlu mewujudkan fail bagi setiap individu (murid). Bayangkan jika dalam satu kelas terdapat 40 orang murid, maka 40 fail perlu diwujudkan.  Apatah lagi jika di sesuatu sekolah mempunyai dua hingga empat kelas untuk tahun satu. Ini tidak termasuk lagi dengan penulisan Buku Rekod Mengajar yang perlu dimasukkan banyak item menambahkan lagi kerja merekod guru terutama guru tahun 1.  Sedangkan hakikat sebenarnya masa yang diperuntukkan semasa waktu persekolahan amat diperlukan bagi memberi tumpuan terhadap pengajaran dan membimbing murid.

      Sebenarnya isu ini telah banyak ditimbulkan dalam beberapa forum namun,tidak ada penyelesaian yang jelas. Situasi yang sama tetap berlaku. Apabila dibangkitkan ramai beranggapan guru ingin lari dari tugas, tetapi sebenarnya guru ingin menumpukan pada mengajar. Sebenarnya tugas perkeranian ini tidak memberi faedah kepada sesiapa pun termasuk murid dan ibu bapa.

      Dari segi kepuasan mengajar, guru akan lebih berasa puas sekiranya mereka dapat member fokus kepada tugas mengajar semata-mata di samping memeriksa buku setiap pelajarnya. Ini kerana guru tidak perlu memikirkan komitmen lain. Masa yang ada boleh ditumpukan kepada perancangan pengajaran yang boleh memberi kesan kepada setiap pelajar.

                  Beban dan tekanan guru telah mula diambil  perhatian serius oleh pihak Kementerian Pelajaran untuk diatasi serta diberi penambahbaikkan. Buktinya semasa sambutan Hari Guru tahun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom telah memaklumkan proses pengumpulan maklumat dan perbincangan mengenai kajian bebanan guru telah berada di peringkat akhir. Laporan itu akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diumumkan. Bagaimanapun para guru masih menunggukan satu keputusan yang menampakkan perubahan yang besar dalam isu ini.

                  Apa sekalipun keputusan Kementerian, dalam hal ini diharapkan semua pihak perlu memandang serius tentang isu ini kerana setiap keputusan kesannya adalah terhadap pelajar-pelajar kita. Bebanan guru dalam menjalankan tugas-tugas perkeranian dan tugas-tugas lain tetap tidak menguntungkan mana-mana pihak.

                  Jika sekiranya tenaga serta kemahiran guru yang menjalankan tugas-tugas tambahan yang sia-sia dialihkan kepada pengajaran, bukan sahaja murid-murid yang berkaliber dilahirkan tetapi kualiti pengajaran akan ditingkatkan. Biarlah guru-guru berada dalam keadaan mental yang baik dan tanpa tekanan supaya kualiti mengajar dapat ditingkatkan. Gurguru yang mengajar tanpa tekanan dan bebanan adalah guru yang berkualiti dan Negara juga memerlukan pendidik seperti ini.

                  Kesimpulannya, diharapkan pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil satu penyelesaian yang terbaik yang dapat menguntungkan pelajar-pelajar yang merupakan aset kepada Negara. Negara bergantung kepada “pencorak” generasi muda iaitu guru.

SEMAKAN GAJI

Anda boleh menggunakan pautan ini untuk semakan gaji terkini....

SEMAKAN GAJI TERKINI

RUJUKAN UPSR

SET SOALAN PERCUBAAN UPSR 2012

Anda boleh dapatkan set soalan UPSR 2011 melalui pautan di bawah :

SOALAN PERCUBAAN UPSR NEGERI 2012

PIDATO

Berikut adalah contoh Pidato yang disampaikan oleh pelajar dalam Pertandingan Pidato bersempena Karnival Bahasa....


TAJUK PIDATO :  ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana,
Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin –hadirat sekalian.

Assalamualaikum pembuka bicara.
“Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini. Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan dahulu tajuk pidatoan ini.

Mengikut kamus dewan, ‘alam sekitar’ ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan di langit.
‘Tanggungjawab’ pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh seseorang, manakala ‘bersama’ pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata pepatah hadirin-hadirat sekalian,  ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Maka segala usaha untuk membersihkan dan mencantikkan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

Hadirin  yang dihormati,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di sana sini mata dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan arus pembangunan yang kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin rancak, janganlah  pula kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar kerana sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Hadirin yang dihormati,

Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab itu lebih daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara sendirian. Semua pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, sungai dipenuhi sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar.

Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat alam. Mereka percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya juga demikian.

Hadirin yang dikasihi.

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita. Alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara tidak langsung hadirin sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih ke sector pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam sekitar.

Hadirin yang dihormati,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.  Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya mencintai alam sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha mencari jalan  untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian bahawa pendidikan menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga Yunani, iaitu hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan kita kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam sekitar.

Hadirin sekalian.

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan kepekaan kita terhadap alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu hidup kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah sumber makanan dan udara yang sihat. Oleh itu, untuk memastikan tubuh kita sihat, semuanya  bergantung pada alam sekitar yang sihat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini sebelum saya menutup bicara :
Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa
Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya.
Sekian, terima kasih.









CETUSAN RASA

REFLEKSI KESELURUHAN TUGASAN


Tugasan saya telah sampai ke garisan penamat. Apa yang dapat dirumuskan, perasaan saya agak lega kerana dapat juga melaksanakan tugasan yang memerlukan peruntukan masa yang mencukupi bagi melaksanakannya sedangkan ruang masa kami memang agak terhad.

            Sewaktu penerimaan tugasan dalam kelas, sememangnya agak kabur kerana pensyarah pembimbing perlu menyampaikan input untuk beberapa topik sekaligus untuk ruang interaksi yang terhad. Sememangnya di dalam kelas, kita hanya dapat menerima tugasan secara dasar tanpa praktikal. Ini dapat dirasai untuk topik pembinaan blog. Sejujurnya dapat dikatakan untuk topik ini, memang agak berat untuk dilaksanakan kerana melibatkan penguasaan ICT, apatah lagi selama ini pun saya tidak mempunyai pengetahuan asas untuk pembinaan blog.

Kita tidak akan nampak masalah jika tidak melaksanakannya. Saya memulakan langkah  dengan mencari bahan melalui internet tentang cara-cara pembinaannya. Seperti biasa, melalui bahan bacaan sahaja tidak mencukupi, pertanyaan  dengan rakan sejawat yang mahir dalam ICT dilakukan. Tetapi, masa juga yang menjadi masalah kerana rakan-rakan juga terbeban dengan tugas-tugas mereka di sekolah. Sukar juga untuk saya berinteraksi dengan mereka secara kerap.  Mahu tidak mahu, banyak perkara perlu dilakukan secara kendiri. Alhamdulillah, setiap permasalahan yang timbul, jika dirujuk kepada pensyarah pembimbing, beliau turut memberi panduan. Semua ini memberi laluan yang mudah untuk saya melaksanakan tugasan pembinaan blog. Setiap arahan ‘posting’ bahan pembelajaran dapat dilaksanakan, dan tidak sukar untuk dilakukan.

Walaupun jika dilihat, blog saya tidak “secanggih” yang lain, mungkin kurang lengkap dari segi penambahan ‘aksesori’ yang lain, namun inilah kadar yang termampu dilaksanakan untuk tempoh masa terhad.  Insyaallah, selepas ini pun saya akan mengemaskini blog ini dari semasa ke semasa.
Untuk tugasan seterusnya, iaitu pembinaan bahan pembelajaran berbantukan komputer, tidak sesukar tugasan binaan blog. Berbekalkan pengetahuan asas untuk Power Point di samping telah biasa menggunakan Power Point untuk subjek terdahulu dan untuk pembentangan, memberi kredit untuk melengkapkan tugasan ini. Hanya yang perlu difikirkan dan ditentukan adalah tema pembelajaran yang hendak diisi di samping menyelitkan Video, Audio, Teks dan Imej dalam satu pakej. Adalah menjadi harapan, bahan saya ini tidak tersasar dan dapat memenuhi kehendak pensyarah pembimbing. Untuk bahan ini, sasaran saya adalah penulisan ulasan yang terdapat dalam Kertas Penulisan UPSR. Apa yang cuba saya sampaikan dalam bahan ini berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sebagai guru Tahun 6, cara asas untuk Penulisan Ulasan.

Untuk tugasan ini, sememangnya saya berusaha untuk melengkapkannya kerana beranggapan dapat diserahkan pada interaksi terakhir untuk memberi tumpuan menghadapi peperiksaan. Anggapan saya meleset, kami perlu melengkapkan lagi tugasan blog dan pembinaan bahan ini. Bermaksud seminggu sebelum menghadapi peperiksaan, kami perlu mengendalikan dan menguruskan lagi tugasan. Sememangnya ini agak memberi tekanan kepada saya kerana minggu akhir ini, di sekolah turut terlibat dengan persiapan Hari Anugerah Kecemerlangan. Saya pula terlibat dalam AJK Hadiah yang turut “mencuri’ masa saya pada minggu ini kerana perlu keluar mencari hadiah yang sesuai di samping perlu menyediakan 3 teks ucapan yang turut diberikan pada saat akhir.  

Sememangnya, apa yang dapat dirumuskan, titik utama masalah di sini adalah MASA. Kekangan masa amat memberi kesan emosi dan pengurusan diri memandangkan tugas saya di sini bukan sahaja sebagai PELAJAR, tetapi sebagai GURU, ISTERI DAN IBU. Apatah lagi saya perlu menguruskan anak-anak sendirian, turut memberi kesan terhadap pengurusan masa saya untuk melaksanakan tugasan.

Walaubagaimanapun, semua ini tidak mematahkan semangat saya. Apa sahaja yang dipelajari melalui program ini dan untuk subjek BMM3105 khasnya memberi banyak input dan ilmu yang sememangnya dapat meningkatkan tahap keilmuan kita. Tugas sebagai pendidik sendiri yang semakin rencam memerlukan penguasaan ilmu untuk mencambahkan lagi pemikiran kita. Insyaallah, apa yang diharapkan segala ilmu ini dapat diaplikasikan dalam dunia pendidikan kita.

Harapan saya juga, agar  dapat meneruskan langkah untuk mengikuti pengajian ini dengan mudah dan lancar. Kepada Pensyarah Pembimbing, Encik Bukhari bin Shafie, terima kasih atas segala bimbingan.  Sejujurnya ketika melayari blog tuan bagi mendapatkan info dan bahan, saya amat tertarik dengan gaya bahasa tuan.
  
Sekian.

Friday 28 September 2012

UCAPAN YDP PIBG

TEKS UCAPAN YDP PIBG BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN


Yang Dihormati Saudari Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Puan Siti Noor bt. Iberahim,
Yang Berbahagia Dato-Dato’ dan Datin-Datin,
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAH MATULLAH ……………..

            Saya amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di mana dengan limpah taufik-Nya dapat kita bertemu dan bersua muka di majlis Mesyuarat Agung Kali ke-6 ini. Di sini juga saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk saya menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Perjumpaan kita dalam mesyuarat Agung ini adalah satu peristiwa penting yang diadakan oleh pihak sekolah bertujuan untuk mengadakan perjumpaan antara pihak sekolah dan para waris.  Perjumpaan ini di samping untuk merapatkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa, kedua-dua pihak boleh sama-sama berbincang untuk mengetahui kebolehan, kelemahan dan sebarang unsure-unsur yang dapat membantu memajukan prestasi sekolah ini.

            Dalam mesyuarat ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada kedua-dua pihak memberikan pemikiran dan tenaga bagi kemajuan pendidikan anak-anak kita. Adalah menjadi harapan saya selaku YDP PIBG sekolah ini agar SK Taman Bersatu meningkat maju dari semasa ke semasa dan dapat menempa nama sebagai salah sebuah sekolah yang terbaik di pesisiran pantai ini.

            Di kesempatan ini juga saya ingin meminta kerjasama kepada para waris agar sentiasa peka dengan persekitaran kawasan sekolah. Jika hendak berurusan dengan pihak sekolah sentiasalah memakai pakaian sopan dan sesuai . Begitu juga minta kerjasama para waris agar  mengehadkan penghantaran anak-anak khususnya anak-anak kita di tahun satu sehingga pintu masuk pagar sekolah sahaja. Tidak perlu menghantar anak-anak hingga pintu kelas. Biar kita pupuk sikap berdikari anak-anak kita sedari tahun satu lagi. Begitu juga rungutan yang kedengaran daripada pihak ibu bapa yang bimbang dengan keperihatinan guru-guru terhadap murid-murid  yang ditempatkan di kelas-kelas akhir, percayalah guru-guru di sini sentiasa memberikan pendidikan yang sama rata tetapi dengan kaedah yang berbeza mengikut kemampuan anak-anak kita. Biarlah kita di pihak ibu bapa memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah yang perlu mengendalikan pelbagai karenah anak-anak kita.

Tuan-tuan dan puan-puan ,

            Bagi mencapai kejayaan seperti yang kita impikan bukan mudah, pastinya memerlukan pengorbanan dan komitmen kedua-kedua pihak. Ibu bapa tidak boleh bergantung harap kepada pihak sekolah semata-mata, malahan perlu juga menyumbangkan tenaga dan sumbangan demi perkembangan anak-anak kita. Kejayaan sekolah ini pasti dapat direalisasikan sekiranya kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Sebelum saya mengundur diri, saya memohon kemaafan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian sekiranya di sepanjang ucapan saya ini terdapat kata-kata yang kurang menyenangkan.  Sekian.

              

JEMPUTAN VIP HAK

TEKS UCAPAN VIP BERSEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN


Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis,
Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Penolong-penolong Kanan, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG Sek. Keb. Taman Bersatu. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang tinggi sehingga majlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang murid-murid dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada para murid yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka.


Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus ‘memberi’, agar para pelajar bersedia untuk ‘menerima’. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Dato’ Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato’ Syeikh Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada para murid lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,
Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. Insya’Allah.
                                                                                     
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu pada hari ini.

Sekian, terima kasih.





KEMAHIRAN BERBAHASA

SISTEM BAHASA

Berikut adalah topik-topik dalam aspek sistem bahasa untuk sekolah rendah


Tajuk-tajuk dalam kemahiran berbahasa (tatabahasa)

bil
tajuk
1.
Kata nama
2.
Kata kerja
3.
Kata adjektif
4.
Kata ganti diri
5.
Kata bilangan
6.
imbuhan
7.
Kata ganda
8.
Kata sendi nama
9.
Kata hubung
10.
Kata bantu
11.
Kata majmuk
12.
Kata perintah
13.
Kata arah
14.
Kata penguat
15.
Kata pemeri
16.
Kata banyak makna
17.
Penjodoh bilangan
18.
antonim
19.
sinonim
20.
Simpulan bahasa/ peribahasa
21.
Membina jawapan
22.
Membina soalan
23.
Ayat sama maksud
24.
Ayat naïf
25.
Kesalahan umum ayat
26.
Bahasa istana
27.
Penanda wacana
28.
Hukum dm

Kuasai semua tajuk di atas – anda boleh mencapai ‘a’ dalam kertas 1 bahasa melayu

Pn. Sarmiah bt. Ahmad